fb fb fb fb fb

Bot terbalik di Pantai Florida: Satu mayat ditemui

FOTO RUETERS


MIAMI, 27 Januari- Krew Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) yang mencari 39 orang dilaporkan hilang dalam kejadian bot terbalik di Pantai Timur Florida, pada dua hari lalu menemui satu mayat setakat ini.

"Kami menemui satu mayat... dan kami meneruskan untuk mencari mangsa lain yang terselamat", kata Pengawal Pantai, Kapten Jo-Ann Burdian.

Menurut Burdian, bot itu meninggalkan Bimini di Bahamas pada malam Sabtu dan terbalik selepas meredah keadaan laut bergelora 45 batu (65 kilometer) dari timur bandar Fort Pierce.

Burdian berkata masa adalah penting dalam usaha pencarian, kerana mereka yang hilang akan cuba bertahan dalam air sejuk tanpa bekalan serta terdedah kepada cahaya matahari dan air laut.

 

FOTO RUETERS


"Setiap saat yang berlalu, ia jadi lebih mengerikan dan berkemungkinan tidak ada sesiapa boleh bertahan," kata Burdian.

Pengawal Pantai membunyikan penggera pagi Selasa selepas menerima laporan daripada bot komersial yang telah menyelamatkan seorang lelaki berpaut pada sebuah kapal yang terbalik.

Operasi pencarian dan menyelamat pada Rabu diteruskan dengan bantuan sebuah pesawat dengan harapan untuk mencari lebih banyak mayat atau mangsa yang terselamat, kata Burdian.

Sindiket pemerdagangan manusia biasanya menjadikan Bahamas sebagai lokasi penyeludupan manusia yang kebanyakan mereka dari negara Caribbean seperti Haiti untuk masuk ke Amerika Syarikat. -AFP

Media Baharu