fb fb fb fb fb

Tukar bir dengan minyak masak? Idea pemilik pub atasi kekurangan bekalan

(Seorang tukang masak memanggang daging dalam minyak bunga matahari
di dapur Giesinger Braeustueberl di Munich, Jerman, 15 Julai 2022/REUTERS)


BERLIN, 17 Julai- Sebuah pub minuman di Munich telah menemui cara baru untuk mengatasi kekurangan minyak masak Eropah, membenarkan pelanggan membayar bir mereka dengan minyak bunga matahari untuk memastikan stok yang banyak untuk menggoreng daging schnitzel.

Dengan Ukraine dan Rusia menyumbang kira-kira 80 peratus daripada eksport global minyak biji bunga matahari, banyak negara Eropah termasuk Jerman mengalami kekurangan bekalan minyak sejak Rusia menyerang jirannya pada Februari.

Pengurus di Kilang Bir Giesinger, sebuah kilang bir dan pub di bandar selatan Munich, berpendapat mereka mungkin mempunyai jawapannya, menawarkan peminat bir satu liter minuman kegemaran mereka untuk kuantiti minyak bunga matahari yang sama.

"Semuanya timbul kerana kami kehabisan minyak di dapur dan itulah sebabnya kami perlu bijak memulakan idea sistem pertukaran sebegini," kata pengurus pub, Erik Hoffmann, kepada Reuters TV.

Botol minyak rapeseed dan bunga matahari sering hilang dari rak pasar raya di Jerman sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, dan banyak kedai mencatu bilangan botol yang bole dibeli setiap pelanggan.

"Mendapatkan minyak adalah sangat sukar.Jika anda memerlukan 30 liter seminggu dan hanya mendapat 15 liter, tentu pada satu ketika anda tidak akan dapat menggoreng schnitzel lagi," kata Hoffmann, sambil menambah bahawa setakat ini pelanggan telah menukar 400 liter minyak.


(Minyak bunga matahari dari Ukraine, sejumlah 80 liter, dimuatkan dari bagasi kereta Moritz Baller
di Kilang Bir Giesinger Munich di Munich, Jerman, 15 Julai 2022/REUTERS)


Walaupun seliter bir berharga kira-kira 7 euro (AS$7) di pub Jerman, sebotol satu liter minyak bunga matahari dijual pada harga kira-kira 4.5 euro, menjadikan tawaran itu menggoda ramai pelanggan.

Pelanggan Moritz Baller membeli 80 liter minyak bunga matahari di Ukraine semasa perjalanan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan, menukar penghantarannya dengan lapan peti bir untuk parti hari jadinya.

“Kempen ini hebat. Kami boleh mendapatkan bir murah dan sudah tentu stok dari Kilang Bir Giesinger juga bertambah penjualannya," katanya.-REUTERS



Media Baharu