fb fb fb fb fb

Pencemaran udara: Penduduk New Delhi seru langkah tegas kerajaan

FOTO REUTERS

NEW DELHI, 20 November - Penduduk New Delhi menyeru kerajaan supaya mengambil tindakan lebih tegas bagi menangani krisis pencemaran udara yang semakin membimbangkan.

Menurut agensi ramalan cuaca, SAFAR, Indeks Kualiti Udara (AQI) di bandar itu mencatatkan bacaan 399 pada Khamis, dikategorikan sebagai “sangat teruk”.

Seorang penduduk, Joginder Singh berkata isu pencemaran udara telah berlaku sejak 10 hingga 15 tahun lalu dan tiada penyelesaian kekal, melainkan kerajaan mengambil langkah serius.

"Jika mereka (kerajaan) berfikir bahawa dengan mengehadkan kenderaan dan mengenakan sekatan, tiada perubahan akan berlaku, ia tidak akan membawa sebarang perbezaan.

"Mereka sepatutnya menetapkan sasaran untuk menanam sekurang-kurangnya dua crore (20 juta) pokok di Delhi setiap tahun. Mengenakan sekatan tidak akan membawa sebarang perubahan.

"Pejabat kerajaan beroperasi, manakala pejabat swasta tidak. Bagaimana pencemaran boleh dikurangkan melalui langkah-langkah ini? Kerajaan langsung tidak serius.

"Pembakaran jerami telah berlaku selama beribu-ribu tahun. Pencemaran tidak berlaku hanya sebulan; keadaan ini berterusan sepanjang tahun di Delhi," katanya di sini.

Seorang lagi penduduk dikenali Ashok Sharma berkata pencemaran udara telah menyebabkan ahli keluarganya jatuh sakit.

"Pencemaran mesti dikurangkan. Disebabkan pencemaran, isteri saya telah jatuh sakit. Saya keluar pada waktu pagi, walaupun kerajaan mengatakan elakkan keluar pada waktu pagi. Namun, saya tidak berdaya. Oleh itu, pencemaran mesti dikurangkan," katanya.

Setiap musim sejuk, Delhi dan kawasan sekitarnya sering diliputi kabus tebal akibat udara sejuk dan padat yang menahan pelepasan daripada kenderaan, tapak pembinaan serta pembakaran tanaman.

Keadaan itu menyebabkan tahap pencemaran udara di bandar itu antara yang tertinggi di dunia.

Kerajaan Delhi telah mengenakan larangan ke atas kerja pembinaan yang tidak penting sebagai langkah sementara untuk menangani pencemaran.

India turut menetapkan sasaran meningkatkan kawasan hutan dan liputan hijau kepada 33 peratus daripada jumlah keluasan tanah menjelang 2030, berbanding 24 peratus pada masa ini, bagi mengurangkan pelepasan karbon serta memenuhi komitmen di bawah Perjanjian Iklim Paris. -REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM