KIEV, 20 November - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memaklumkan bahawa 22 orang masih hilang di bandar Ternopil, sehari selepas serangan peluru berpandu Rusia yang meragut sekurang-kurangnya 26 nyawa, termasuk tiga kanak-kanak.
“Sepanjang malam, pasukan penyelamat kami terus bekerja di Ternopil. Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan dan 22 orang masih hilang,” katanya menerusi media sosial.
Serangan itu dianggap antara yang paling dahsyat di bahagian barat Ukraine sejak Rusia memulakan pencerobohan pada Februari 2022.
Peluru berpandu berkenaan meranapkan tingkat atas sebuah blok pangsapuri, manakala pasukan penyelamat berusaha keras mencari mangsa dalam runtuhan.
Lebih 200 penyelamat dari beberapa wilayah telah dikerahkan bagi membantu usaha pencarian di bandar tersebut.
Menerusi futej yang dikeluarkan lewat Rabu menunjukkan pasukan penyelamat bekerja dalam gelap melalui runtuhan, menggunakan kren untuk mencapai bahagian atas bangunan yang musnah; sebuah blok pangsapuri era Soviet yang tipikal. -AFP