MAZAR-E SHARIF, 3 November - Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan kira-kira 150 lagi cedera selepas gempa bumi bermagnitud 6.3 melanda berhampiran bandar Mazar-e Sharif di utara Afghanistan awal pagi Isnin.
Jurucakap Jabatan Kesihatan wilayah Samangan, Samim Joyanda berkata mangsa yang cedera dan terkorban telah dibawa ke pusat kesihatan berhampiran.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) gempa berlaku pada kedalaman 28 kilometer berhampiran bandar berpenduduk lebih 523,000 orang.
USGS turut mengeluarkan amaran jingga melalui sistem PAGER, menunjukkan kemungkinan besar lebih banyak korban dilaporkan dan kerosakan yang teruk.
Jurucakap wilayah Balkh, Haji Zaid berkata sebahagian struktur di Masjid Biru tempat terkenal di Mazar-e Sharif turut musnah akibat gegaran.
Afghanistan sering terdedah kepada gempa bumi kerana terletak di persimpangan dua sesar aktif utama.
Pada Ogos lalu, ribuan penduduk maut akibat siri gegaran kuat di timur negara itu, manakala gempa pada 2023 turut meragut sekurang-kurangnya 1,000 nyawa. -REUTERS