SYDNEY, 25 April- Pasukan anti keganasan Australia menahan tujuh remaja pada Rabu yang dikaitkan dengan seorang budak lelaki yang didakwa melakukan serangan bermotifkan agama ke atas seorang paderi, baru-baru ini.
Polis berkata, sepasukan lebih 400 polis dan anggota keselamatan terlibat dalam operasi itu.
Operasi kemudiannya berjaya menahan menahan rakan sekutu seorang budak lelaki berusia 16 tahun yang didakwa menikam seorang paderi di sebuah gereja ketika upacara keagamaan itu disiarkan secara langsung pada 15 April.
Polis berkata remaja-remaja berkenaan ditahan kerana mereka adalah 'risiko' kepada masyarakat.
Sehubungan itu, polis akan mendakwa kesemua remaja terbabit yang dipercayai mempunyai ideologi ekstremis ganas yang bermotifkan agama. Lima orang lagi sedang disoal siasat polis.
"Saya boleh memberi jaminan bahawa tiada ancaman berterusan kepada masyarakat, dan tindakan yang kami ambil hari ini telah mengurangkan sebarang risiko masa depan atau bahaya selanjutnya," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri New South Wales David Hudson pada sidang akhbar berikutan penahanan itu. .
Jenayah senjata api dan senjata tajam jarang berlaku di bandar Sydney, salah satu yang paling selamat di dunia.
Operasi Pasukan Anti Keganasan Bersama (JTT), yang melibatkan 13 serbuan di Sydney dan bandar wilayah Goulburn, adalah usaha gabungan antara polis negeri dan agensi persekutuan serta perisikan domestik.
Sejumlah besar bahan elektronik telah dirampas dalam serbuan itu, kata polis dalam satu kenyataan.-REUTERS