FOTO AFP
KHARTOUM, 18 Januari- Tindakan tentera melepaskan tembakan menyebabkan tujuh orang terbunuh dalam tunjuk perasaan terbaru antirampasan kuasa tentera di Sudan.
Kematian itu menjadikan kesemuanya 71 orang terbunuh sejak pihak tentera diketuai Jeneral Abdel Fattah al-Burhan mengambil alih kuasa pada 25 Oktober tahun lalu.
Kejadian berlaku pada Isnin waktu tempatan meskipun Majlis Keselamatan PBB telah menggesa Khartoum untuk "bertahan sepenuhnya".
Keganasan terbaru di ibu negara Sudan itu berlaku menjelang lawatan penting diplomat Amerika Syarikat (AS) ketika Washington berusaha menjadi perantara dalam menamatkan krisis berbulan-bulan di negara timur laut Afrika itu.
Wakil Khas PBB, Volker Perthes yang mengesahkan jumlah kematian itu, mengecam tindakan tentera menggunakan peluru hidup secara berterusan bagi menghentikan protes.
Kedutaan AS di Khartoum pula mengkritik "taktik ganas" yang digunakan pasukan keselamatan Sudan.
Sembilan anggota Majlis Keselamatan PBB termasuk Britain dan Perancis menggesa semua pihak untuk menghentikan sebarang tindakan ganas dan menekankan “kepentingan perhimpunan aman serta kebebasan bersuara”.
Tindakan tentera merampas kuasa telah mencetuskan kecaman antarabangsa dan menggagalkan peralihan pemerintahan awam berikutan penyingkiran presiden autokrat Omar al-Bashir pada April 2019. -AFP