fb fb fb fb fb

Tonga seru bantuan antarabangsa

FOTO AFP

AUCKLAND, 18 Januari - Tonga menyeru bantuan segera antarabangsa dengan keperluan mendesak untuk air minuman dan makanan.

Ia susulan negara yang dihuni 100,000 orang penduduk itu terjejas teruk akibat letusan Gunung Berapi Hunga-Tonga-Hunga-Ha'apai, Sabtu lalu sehingga berlakunya tsunami dan gelombang kuat.

Negara itu terputus hubungan dengan dunia luar selepas letupan gunung berapi besar melumpuhkan fasiliti komunikasi dengan negara kepulauan Pasifik itu.

Speaker Parlimen Tonga, Lord Fakafanua berkata akses komunikasi masih terputus dan tahap kemudaratan kepada nyawa dan harta benda pada masa ini masih belum diketahui.

Menurutnya dalam kenyataan dikongsi di media sosial, Tonga memerlukan bantuan segera untuk menyediakan rakyatnya dengan air minuman dan makanan.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menyifatkan tahap kerosakan di Tonga agak serius selepas sebahagian kawasan dilitupi abu gunung berapi.

"Awan abu dan debu menimbulkan risiko. Pandangan semasa berlepas adalah mereka akan dapat melakukan peninjauan semasa penerbangan dan memberikan maklumat yang sangat kritikal itu kembali," katanya.

New Zealand dan Australia dalam pada itu bergegas menghantar pesawat peninjau untuk mengenal pasti kerosakan dari udara pada Isnin.

Kedua-dua negara meletakkan pesawat pengangkut tentera C-130 dalam keadaan bersiap sedia untuk menggugurkan bekalan kecemasan atau mendarat sekiranya landasan kapal terbang boleh digunakan.

Imej satelit menunjukkan letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai yang panjang dan bergemuruh menyebabkan kepulan asap kelihatan seperti cendawan besar, selain abu bertebaran ke udara merentasi perairan sekitarnya.

Letusan itu turut mencetuskan gelombang tsunami setinggi 1.2 meter di ibu negara Tonga, Nuku'alofa selain pulau terpencil di selatan Amami Oshima di Jepun.

Media Baharu