MEXICO CITY, 6 Januari - Tujuh orang terbunuh manakala lima lagi cedera dalam satu insiden tembakan di sebuah kelab malam di tenggara Mexico, pada Ahad.
Pihak berkuasa Mexico berkata, insiden terbaharu itu merupakan siri serangan ganas yang melanda negara itu.
Sekretariat Keselamatan dan Perlindungan Awam berkata, operasi memburu suspek telah dilancarkan susulan kejadian tembakan pada malam Sabtu di bandar Villahermosa, negeri Tabasco.
"Analisis rakaman kamera pengawasan sedang dilakukan, dan pihak berkuasa negeri serta persekutuan menjalankan rondaan untuk mengesan dan menangkap mereka yang bertanggungjawab," menurut kenyataan itu.
Jumlah mangsa yang terkorban pada awalnya dilaporkan seramai lima orang, namun pejabat pendakwa raya Tabasco kemudian mengesahkan bahawa dua lagi mangsa telah meninggal dunia dalam serangan tersebut.
Kesemua mangsa dilaporkan meninggal dunia di sebuah kelab malam yang beroperasi tanpa kelulusan pihak kerajaan.
Menurut media tempatan, penyerang yang tidak dikenali telah menyerbu bar bernama La Casita Azul dan melepaskan tembakan ke arah pelanggan.
Serangan itu menyaksikan mayat berlumuran darah bergelimpangan di lantai.
Tabasco menjadi lokasi utama pengeluaran minyak telah menyaksikan peningkatan kes jenayah ganas dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada November lalu, enam orang terbunuh dan 10 lagi cedera dalam serangan bersenjata di sebuah bar di Villahermosa.
Dua minggu sebelumnya, satu serangan di sebuah bar di bandar Queretaro menyebabkan 10 orang maut.
Pada hujung minggu yang sama, enam orang terbunuh dalam insiden tembakan di sebuah bar di pinggir bandar Mexico City.
Sejak kerajaan Mexico mengerah tentera untuk memerangi kegiatan pengedaran dadah pada tahun 2006, lebih 450,000 orang telah terkorban akibat keganasan berkaitan dadah. - AFP