SEOUL, 6 Januari - Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik ke arah Laut Timur pada Isnin, menurut kenyataan tentera Korea Selatan merujuk kepada perairan yang juga dikenali sebagai Laut Jepun.
"Korea Utara menghantar peluru berpandu balistik yang tidak dikenal pasti ke arah Laut Timur," kata pihak tentera Korea Selatan.
Pelancaran pada Isnin itu berlaku ketika Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) yang akan melepaskan jawatan, Antony Blinken, sedang berada di Seoul untuk mengadakan perbincangan dengan beberapa menteri utama Korea Selatan.
Pelancaran peluru berpandu balistik adalah yang pertama Pyongyang tahun ini selepas pelancaran yang terakhir pada November apabila pabila ia menguji peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) bahan bakar pepejal yang didakwa paling canggih dan berkuasa.
Ia juga merupakan ujian senjata pertama oleh pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, selepas beliau dituduh menghantar tentera untuk membantu Rusia dalam peperangan di Ukraine.
Sebagai tindak balas, Korea Selatan melepaskan peluru berpandu balistik ke laut sebagai tanda kekuatan selepas salvo peluru berpandu oleh Pyongyang.
Korea Selatan, sebuah negara demokrasi yang dinamik, turut dilanda krisis selama beberapa minggu akibat tindakan presidennya, Yoon Suk Seol, yang mengisytiharkan dekri undang-undang tentera singkat pada 3 Disember lalu.
Media rasmi Korea Utara minggu lalu menyatakan bahawa Korea Selatan berada dalam keadaan "kacau bilau" dan lumpuh secara politik berikutan usaha pihak penyiasat untuk melaksanakan waran tangkap terhadap Yoon. - AFP