JAKARTA, 6 Januari - Indonesia melancarkan program makan percuma bernilai $4.3 bilion pada Isnin bagi menangani masalah pertumbuhan terbantut akibat kekurangan zat makanan.
la merupakan salah satu janji utama Presiden Prabowo Subianto semasa kempen pilihan rayanya.
Prabowo berikrar menyediakan makanan berkhasiat secara percuma kepada puluhan juta kanak-kanak sekolah dan wanita hamil ke arah meningkatkan kualiti hidup rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
"Ini adalah peristiwa bersejarah untuk Indonesia kerana buat kali pertama melaksanakan program pemakanan kebangsaan untuk kanak-kanak kecil, pelajar, ibu hamil, dan ibu menyusu," kata jurucakap presiden, Hasan Nasbi, pada Ahad.
Sekurang-kurangnya 190 dapur yang dikendalikan perkhidmatan katering pihak ketiga, termasuk beberapa dapur di pangkalan tentera telah mula beroperasi di seluruh negara menyediakan makanan sejak tengah malam sebelum mengedarkannya kepada pelajar dan wanita hamil.
Kerajaan memperuntukkan 10,000 rupiah (62 sen AS) bagi setiap hidangan, dengan dapur menyediakan nasi, protein, sayur-sayuran, dan buah-buahan untuk pelajar.
Program itu mempunyai peruntukan sebanyak 71 trilion rupiah ($4.3 bilion) bagi tahun fiskal 2025 dan disasarkan bagi menyediakan makanan kepada hampir 83 juta orang menjelang 2029.
Program makan percuma tersebut bertujuan mengatasi masalah stunting, yang menjejaskan 21.5 peratus kanak-kanak di negara kepulauan dengan populasi sekitar 282 juta orang.
Indonesia menyasarkan untuk mengurangkan kadar stunting kepada lima peratus menjelang tahun 2045.
Prabowo telah memperjuangkan program berkenaan sejak kempen pilihan raya presiden tahun lalu dan kawasan paling miskin dan terpencil di kepulauan Asia Tenggara itu akan diberi keutamaan.
Selepas dilantik Oktober lalu, beliau melawat beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk mendapatkan sokongan dana.
Pada November, beliau berjaya memperoleh perjanjian bernilai $10 bilion dengan pemimpin China, Xi Jinping, untuk sokongan dalam beberapa sektor termasuk program makan percuma ini.
Bagaimanapun, penganalisis menyuarakan kebimbangan tentang kelestarian jangka panjang program ini.
"Saya agak pesimis jika semua kos ditanggung oleh kerajaan pusat. Dari sudut ekonomi, ia tidak mampan," kata Aditya Alta, seorang penganalisis dasar awam dari Center for Indonesian Policy Studies kepada AFP.
"Stunting adalah isu multidimensi dan menanganinya dengan hanya satu pendekatan adalah tidak mencukupi," tambahnya. - AFP