fb fb fb fb fb

Tujuh maut dalam letupan stesen minyak Ireland: Polis

(Foto Pasukan Bomba Dublin)

DUBLIN, 8 Oktober- Tujuh orang terbunuh dalam satu letupan di sebuah stesen minyak di County Donegal, barat laut Ireland, kata polis.

Pasukan polis Garda Siochana berkata lapan orang telah dimasukkan ke hospital ketika "pencarian mangsa lain diteruskan" di tapak di kampung Creeslough.

Usaha menyelamat oleh perkhidmatan kecemasan Ireland diteruskan sepanjang malam di tempat kejadian.

Letupan kuat petang semalam menerobos bahagian hadapan stesen minyak dan sisi luar bangunan kompleks apartmen berhampiran.

Polis Ireland, bomba, perkhidmatan ambulans, pengawal pantai dan perkhidmatan ambulans udara dari Ireland Utara serta pasukan pakar dari wilayah kendalian UK telah berkejar ke tempat kejadian.

Hospital Universiti Letterkenny, 24 kilometer (15 batu) dari letupan diletakkan dalam mod kecemasan bagi menguruskan rawatan banyak kes kecederaan.

Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin berkata "fikiran dan doanya hari ini bersama mereka yang kehilangan nyawa, dan mereka yang cedera dalam letupan yang dahsyat itu".

Dalam satu kenyataan beliau mengucapkan terima kasih kepada anggota perkhidmatan kecemasan "yang bekerja sepanjang malam dalam suasana yang sangat traumatik". -AFP


(Tujuh maut dalam letupan stesen minyak Ireland/Foto Twitter)

Media Baharu