PORT SUDAN, 10 Ogos- Sekurang-kurangnya 63 orang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan, dalam tempoh hanya seminggu di bandar El-Fasher yang kini dikepung.
Menurut seorang pegawai kesihatan pada Ahad, angka itu hanya melibatkan mereka yang sempat mendapatkan rawatan di hospital, sementara ramai lagi dikebumikan tanpa bantuan perubatan berikutan keadaan keselamatan yang buruk dan ketiadaan pengangkutan.
Sejak Mei tahun lalu, El-Fasher berada di bawah kepungan pasukan Rapid Support Forces (RSF) yang berperang dengan tentera Sudan sejak April 2023.
Bandar itu merupakan pusat bandar utama terakhir di Darfur yang masih berada di bawah kawalan tentera dan kini berdepan serangan baharu oleh RSF, selepas kumpulan itu berundur dari ibu negara Khartoum awal tahun ini.
Serangan besar RSF April lalu berhampiran kem pelarian Zamzam, memaksa puluhan ribu penduduk melarikan diri sekali lagi, ramai antara mereka kini berlindung di El-Fasher.
Dapur komuniti yang sebelum ini menjadi sumber makanan utama telah banyak ditutup akibat kekurangan bekalan dan ada keluarga yang terpaksa bergantung kepada makanan ternakan atau sisa makanan untuk terus hidup.
Menurut data Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), hampir 40 peratus kanak-kanak bawah lima tahun di El-Fasher kini mengalami masalah kekurangan zat makanan akut, dengan 11 peratus daripadanya berada pada tahap teruk.
Musim hujan yang memuncak pada Ogos memburukkan lagi usaha menghantar bantuan, dengan jalan raya semakin rosak sehingga menyukarkan malah hampir mustahil untuk menyalurkan bekalan.
Perang yang kini memasuki tahun ketiga telah meragut puluhan ribu nyawa, memaksa jutaan penduduk berpindah dan mencetuskan krisis perpindahan serta kebuluran terbesar di dunia, menurut PBB. -AFP