ANKARA, 11 Ogos - Gempa bumi berukuran 6.1 mengikut Skala Richter menggegarkan Sindirgi di wilayah Balikesir, barat Turkiye pada Ahad.
Gegaran turut dirasai di beberapa buah bandar, termasuk Istanbul dan destinasi pelancongan popular, Izmir.
Datuk Bandar Serkan Sak memaklumkan, kira-kira 10 bangunan runtuh di Sindirgi yang merupakan pusat gempa, termasuk sebuah bangunan tiga tingkat di pusat bandar.
"Enam orang tinggal di bangunan tiga tingkat ini. Empat telah diselamatkan. Usaha menyelamatkan dua lagi mangsa masih diteruskan," katanya menerusi pengumuman yang disiarkan oleh stesen televisyen swasta, NTV.
Gegaran turut menyebabkan bangunan dan masjid musnah, namun tiada kematian dilaporkan.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Turkiye (AFAD), gempa berlaku pada pukul 7.53 malam waktu tempatan dengan gegaran susulan dilaporkan berukuran antara 3.5 hingga 4.6 mengikut Skala Richter.
Turkiye terletak di atas beberapa garisan sesar geologi yang telah menyebabkan bencana besar sebelum ini.
Pada Februari 2023, gempa bumi yang melanda kawasan di barat daya negara itu telah meragut sekurang-kurangnya 53,000 nyawa dan memusnahkan Antakya, tapak kota purba Antiokhia.
Pada awal Julai lalu, satu gegaran berukuran 5.8 mengikut Skala Richter di rantau yang sama telah menyebabkan satu kematian dan 69 orang cedera. -AFP