HALKIDIKI, 11 Ogos - Perhimpunan solidariti rakyat Palestin berlangsung di seluruh Greece pada Ahad, sebagai acara peringkat nasional bagi menyokong dan mengetengahkan isu kematian orang awam di Gaza.
Gerakan bawah inisiatif "March to Gaza" itu menyaksikan lebih 105 acara diadakan serentak di seluruh negara, termasuk di bandar-bandar utama, selain destinasi pelancongan.
Di lokasi pelancongan popular Halkidiki, para penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin dan membawa sepanduk yang tertera ayat "Hentikan pembunuhan beramai-ramai" dan "Tiada lagi pertumpahan darah di Gaza".
Mereka turut melaungkan slogan "Kebebasan untuk Palestin", "Hentikan kerjasama dengan Israel" dan "Solidariti bukan satu jenayah".
Jumaat lalu, Kabinet Keselamatan Israel meluluskan rancangan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk menduduki Bandar Gaza sepenuhnya - langkah yang menerima kecaman hebat daripada kerajaan-kerajaan dan badan hak asasi manusia antarabangsa.
Israel terus berdepan kemarahan global berikutan serangan besar-besaran ke atas Gaza yang meragut lebih 61,000 nyawa sejak Oktober 2023.
Kempen ketenteraan itu telah memusnahkan wilayah berkenaan dan meletakkan Gaza di ambang kebuluran.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga sedang berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan serangannya ke atas wilayah tersebut. -REUTERS