fb fb fb fb fb

Lima anggota UNSC kecam rancangan Israel untuk duduki Gaza

Duta Slovenia ke PBB, Samuel Zbogar (tengah) dalam sidang media mengenai situasi di Gaza

ISTANBUL, 11 Ogos - Lima anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) pada Ahad secara terbuka mengecam rancangan Israel untuk menduduki Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

"Kami mengecam keputusan rejim Israel untuk terus memperluaskan operasi ketenteraan di Gaza. Rancangan ini berisiko melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa," kata Duta Slovenia ke PBB Samuel Zbogar dalam satu kenyataan bersama bagi pihak negaranya bersama Britain, Perancis, Denmark dan Greece.

Kesemua negara itu menyeru Israel agar "segera menarik balik keputusan ini dan tidak melaksanakannya," sambil memberi amaran bahawa peluasan operasi ketenteraan akan membahayakan nyawa orang awam dan tebusan yang masih tinggal serta melanggar undang-undang antarabangsa.

Zbogar menyatakan kebimbangan terhadap keadaan yang semakin merosot di Gaza, dengan berkata, "Kanak-kanak sedang mati akibat kebuluran. Kebuluran begitu teruk sehinggakan orang awam yang terdesak terpaksa mengambil risiko terbunuh di tempat agihan bantuan semata-mata untuk memberi makan kepada keluarga mereka."

Kesemua negara itu menyifatkan situasi ini sebagai "krisis buatan manusia" yang memerlukan tindakan segera untuk menghentikan kebuluran dan meningkatkan penghantaran bantuan ke Gaza. Mereka menuntut Israel menarik balik sekatan terhadap penghantaran bantuan dan menghapuskan "keperluan visa dan pendaftaran yang tidak munasabah terhadap NGO antarabangsa."

Mereka turut menyeru kepada gencatan senjata segera, pembebasan tebusan dan kemajuan ke arah penyelesaian dua negara.

Israel kini berdepan kemarahan global yang semakin meningkat berhubung serangan berdarah di Gaza, yang meragut lebih 61,000 nyawa sejak Oktober 2023. Kempen ketenteraan itu telah memusnahkan wilayah Gaza dan membawa penduduknya ke ambang kebuluran. -BERNAMA

MASNIZA AWANG KECHIK