fb fb fb fb fb

Kebakaran lereng Gunung Vesuvius, laluan pendakian ditutup sementara

Foto AFP

ROM, 10 Ogos – Pasukan Bomba Itali giat menjalankan operasi memadamkan kebakaran hutan yang berlaku di lereng Gunung Vesuvius, sekali gus menyebabkan semua laluan pendakian ke gunung berapi berhampiran Naples itu ditutup kepada pelancong.

Menurut Perkhidmatan Bomba Kebangsaan Itali, seramai 12 pasukan bomba telah dikerahkan ke lokasi termasuk enam pesawat pemadam api jenis Canadair dalam usaha mengawal kebakaran yang mula merebak sejak Jumaat lalu di Taman Negara Vesuvius, selatan Itali.

Pasukan bantuan tambahan dari wilayah lain juga sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian.

"Anggota bomba turut menggunakan dron bagi memantau kebakaran" menurut kenyataan di Telegram.

"Atas faktor keselamatan serta bagi memudahkan operasi pemadaman api dan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas, semua aktiviti di sepanjang rangkaian laluan Taman Negara Vesuvius ditangguhkan sehingga diberitahu," menurut kenyataan rasmi pihak taman itu.

Hampir 620,000 orang telah mengunjungi kawah gunung berapi tersebut pada tahun lalu.

Kepulan asap tebal turut dapat dilihat dari tapak arkeologi Pompeii yang terkenal, namun tapak tersebut kekal dibuka kepada pelancong setakat ini.

Pakar menjelaskan bahawa negara-negara di Eropah kini semakin terdedah kepada ancaman kebakaran hutan berikutan gelombang haba musim panas yang semakin ekstrem, yang dikaitkan dengan kesan pemanasan global. - AFP

ROSLINA BINTI DIN