fb fb fb fb fb

Tujuh kanak-kanak antara yang maut dalam kebakaran di Philadelphia


FOTO: AFP

PHILADELPHIA, 6 Januari - Kebakaran sebuah rumah tiga tingkat yang diubah suai menjadi pangsapuri di Philadelphia, Pennsylvania telah meragut sekurang-kurangnya 13 nyawa termasuk tujuh kanak-kanak setakat semalam.

Menurut ciapan Twitter milik Jabatan Bomba Philadelphia, insiden tersebut berlaku kira-kira 6.40 pagi waktu tempatan di Blok Utara 800, 23rd Street dan mendapati api mula merebak pantas dari tingkat dua bangunan berkenaan.

Pihak bomba mengambil masa 50 minit untuk mengawal keadaan tetapi kebakaran masih aktif.

"Tujuh daripada 13 orang yang terkorban adalah kanak-kanak dan insiden tersebut merupakan antara tragedi kebakaran paling buruk pernah saya lihat," kata Timbalan Pesuruhjaya Bomba Philadelphia, Craig Murphy dalam sidang media.

Terdapat empat alat pengesan kebakaran di dalam bangunan itu, namun semuanya tidak berfungsi, katanya lagi.

Seramai 26 penghuni dilaporkan berada di dalam rumah ketika kejadian berlaku dan jumlah kematian boleh meningkat.

Anggota bomba turut memaklumkan dua mangsa yang cedera kini dalam keadaan kritikal.

Siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca kebakaran. -BERNAMA

 

Media Baharu