FOTO AFP
HONG KONG, 6 Januari- Pihak berkuasa Macau mengumumkan larangan penerbangan masuk dari luar China selepas tiga kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan penumpang luar negara.
"Tiga kes import tanpa gejala itu ada kaitan dengan pengembara dari United Kingdom dan Filipina", kata pihak berkuasa kesihatan wilayah itu.
Langkah dibuat pada hari sama Hong Kong melarang kemasukan pesawat dari lapan negara selain menguatkuasakan semula penjarakan fizikal, menyebabkan dua wilayah berjiran itu semakin terpisah dengan dunia luar.
Biro Kesihatan Macau pada Rabu mengumumkan larangan pesawat awam membawa penumpang dari luar China ke Macau untuk tempoh dua minggu bermula tengah malam Ahad.
Macau juga melarang bukan penduduk memasuki bandar itu, manakala penduduk yang pulang dari luar China perlu menjalani kuarantin sekurang-kurangnya 21 hari, langkah sama diambil Hong Kong.
Seperti tanah besar China, Hong Kong dan Macau telah mengekalkan langkah sekatan paling ketat di dunia dalam mengawal penularan COVID-19 termasuk menutup hampir semua sempadan, kuarantin berminggu-minggu, selain menjalankan ujian saringan besar-besaran dan sekatan pergerakan bersasar.
Macau setakat hari ini hanya merekodkan 79 kes positif COVID-19 dan tiada kes kematian.
Ogos lalu, kerajaan Macau mengeluarkan arahan wajib kepada 680,000 penduduk menjalani ujian saringan COVID-19 selepas empat sekeluarga dipercayai membawa varian Delta, menyebabkan rekod sifar kes selama 16 bulan berturut-turut "pecah". -AFP