fb fb fb fb fb

Korea Utara berjaya uji peluru berpandu hipersonik kali ke-2

FOTO AFP

SEOUL, 6 Januari- Korea Utara berjaya menjalankan ujian peluru berpandu hipersonik, lapor media Korea Selatan, ujian pertama seumpamanya tahun ini.

Ujian terbaru itu adalah kali kedua dibuat Pyongyang yang mendakwa peluru berpandu hipersonik itu memiliki kemampuan lebih baik menggunakan teknologi lebih canggih, meskipun Korea Utara berdepan kritikan dan sekatan antarabangsa.

Kali pertama ujian dilakukan; Hwasong-8 pada September tahun lalu.

Peluru berpandu hipersonik itu dilaporkan bergerak lebih pantas dan tangkas berbanding peluru berpandu biasa, menyebabkan ia sukar dipintas oleh sistem pertahanan peluru berpandu yang Amerika Syarikat membelanjakan berbilion dolar untuk pembangunannya.

Peluru berpandu itu dilancarkan semalam (Rabu) dan bergerak sejauh 120 kilometer sebelum mengenai sasaran sejauh 700 kilometer dengan tepat, membuktikan kemampuan senjata jenis itu, menurut laporan Agensi Berita Korea Utara (KCNA)

"Kejayaan berturut-turut dalam ujian peluru berpandu hipersonik itu mempunyai kepentingan strategik," lapor KCNA.

Peluru berpandu hipersonik disenarai dalam keutamaan tertinggi untuk pembangunan senjata strategik dalam rancangan lima tahun Korea Utara.

Ujian peluruh berpandu yang dilakukan ketika musim sejuk juga telah disahkan, menurut KCNA. - AFP

Media Baharu