DUBAI, 25 Januari – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan bahawa kumpulan Huthi yang menguasai kawasan utara Yaman telah menahan tujuh kakitangan PBB di ibu kota Sanaa.
Sebagai langkah keselamatan, semua pergerakan rasmi kakitangan PBB di kawasan yang dikuasai Huthi digantung sementara.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengecam tindakan penahanan itu dan menuntut pembebasan segera semua tahanan.
“PBB akan terus menggunakan semua saluran yang ada untuk memastikan pembebasan segera dan selamat mereka yang ditahan secara sewenang-wenangnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut PBB, langkah menggantung pergerakan itu diambil bagi melindungi keselamatan kakitangannya di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat.
Setakat ini, pihak Huthi belum memberikan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut.
Kumpulan Huthi yang mendapat sokongan Iran telah terlibat dalam beberapa insiden serangan terhadap perkapalan di Laut Merah, mencetuskan tindak balas serangan udara daripada Amerika Syarikat dan Britain.
Pada Jun lalu, PBB turut melaporkan bahawa kumpulan Huthi telah menahan 11 kakitangannya.
Serangan berterusan terhadap kakitangan PBB itu, menurut Guterres, memberi kesan buruk terhadap keupayaan organisasi tersebut untuk membantu berjuta-juta rakyat Yaman yang memerlukan bantuan kemanusiaan.
Dalam perkembangan lain, kumpulan Huthi masih menahan kira-kira 20 kakitangan kedutaan Amerika Syarikat di Sanaa sejak tiga tahun lalu. Operasi kedutaan itu telah digantung sejak sedekad lalu.
Guterres menegaskan bahawa tindakan menyasarkan kakitangan PBB dan rakan kongsi kemanusiaan hanya akan memperburuk keadaan di Yaman, di mana jutaan penduduk memerlukan bantuan mendesak.-REUTERS