fb fb fb fb fb

Hamas dijangka bebaskan empat askar wanita Israel dalam pertukaran kedua

Foto Reuters

BAITULMAQDIS, 25 Januari – Pergerakan pejuang Palestin, Hamas, dijangka membebaskan empat askar wanita Israel pada Sabtu sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang bertujuan menamatkan konflik selama 15 bulan di Gaza.

Keempat-empat askar wanita tersebut, Karina Ariev, Daniela Gilboa, Naama Levy, dan Liri Albag, bertugas di sebuah pos pemerhatian di pinggir Gaza sebelum diculik oleh pejuang Hamas dalam serangan ke atas pangkalan mereka pada 7 Oktober 2023.

Pejabat media tahanan Hamas memaklumkan 200 tahanan Palestin akan dibebaskan pada Sabtu, termasuk 120 yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 80 lagi dengan hukuman panjang.

Pertukaran itu merupakan kali kedua sejak gencatan senjata bermula pada Ahad lalu. Dalam pertukaran pertama, Hamas membebaskan tiga orang awam Israel sebagai tukaran dengan 90 tahanan Palestin.

Pada Jumaat, Hamas telah mengenal pasti empat tebusan yang akan dibebaskan dalam pertukaran kedua, namun Israel belum memberikan kenyataan rasmi dan mungkin hanya berbuat demikian selepas menerima tebusan tersebut.

Dalam fasa awal selama enam minggu, Hamas bersetuju membebaskan 33 tebusan, termasuk kanak-kanak, wanita, warga emas, serta mereka yang sakit atau cedera.

Sebagai balasan, ratusan tahanan Palestin di penjara Israel akan dibebaskan, dan tentera Israel akan menarik diri dari beberapa kedudukan mereka di Gaza.

Fasa seterusnya akan melibatkan rundingan mengenai pertukaran baki tebusan, termasuk lelaki dewasa, serta penarikan sepenuhnya tentera Israel dari Gaza.

Selepas pembebasan tebusan pada Ahad lalu, Israel melaporkan 94 rakyat Israel dan warga asing masih ditahan di Gaza. Bagaimanapun, status sama ada mereka masih hidup atau sebaliknya belum dapat dipastikan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN