fb fb fb fb fb

Tujuh bayi mati akibat jangkitan kuman di hospital Trinidad

Foto Hiasan/ REUTERS

TRINIDAD, 13 April- Seramai tujuh bayi meninggal dunia dalam empat hari akibat jangkitan kuman di Hospital Port of Spain di sini, kata pihak berkuasa kesihatan pulau itu.

Hospital tersebut adalah kemudahan penjagaan kesihatan utama di ibu kota pulau itu.

Wabak itu dikesan di unit rawatan rapi neonatal hospital itu, menurut kenyataan daripada Pihak Berkuasa Kesihatan Wilayah Barat Laut (NWRHA) negara itu, yang bertanggungjawab ke atas pengurusan hospital itu.

Bayi terbabit meninggal dunia akibat sepsis neonatal lanjutan, sejenis jangkitan yang bermula dengan cepat dan mengakibatkan masalah kesihatan serius, kata NWRHA.

Kesemua mangsa adalah bayi yang dilahirkan pramatang pada usia kurang daripada 32 minggu dan memerlukan sokongan rawatan rapi, kata pihak berkuasa kesihatan Trinidad.

Siasatan makmal mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya tiga jenis bakteria yang membimbangkan di wad iaitu Serratia marcescens, ESBL Klebsiella pneumoniae dan Klebsiella aerogenes, kata NWRHA.

"Walaupun diberikan antibiotik dos tinggi dan menyediakan sokongan kardio-pernafasan lanjutan lagi intensif, jangkitan itu meragut nyawa beberapa bayi pramatang ini," kata NWRHA dalam satu kenyataan malam tadi.

Wad itu telah disembur dengan bahan kimia untuk membunuh bakteria, dan wabak itu nampaknya dapat dibendung tanpa kematian baharu sejak 7 April, kata NWRHA.

Kerajaan Trinidad meminta Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO) untuk membantunya dalam penyiasatan kematian bayi itu, kata Menteri kesihatan, Terrence Deyalsingh kepada Parlimen pulau itu pada Jumaat.

Beliau berkata kerajaan mahu menyiasat apa yang berlaku dan, selain daripada siasatan dalaman, ia sedang mendapatkan bantuan daripada badan serantau itu. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI