fb fb fb fb fb

Tuduhan Israel: Indonesia nafi hospitalnya di Gaza 'pangkalan' Hamas

Hospital Rumah Sakit Indonesia di Gaza City, Palestin

JAKARTA, 7 November- Indonesia menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak masuk akal Israel yang menyatakan sebuah hospital di utara Semenanjung Gaza yang dibina menggunakan pembiayaan dana amal negara itu dijadikan 'pangkalan' pejuang Hamas.

Jurucakap Kementerian Luar, Lalu Muhammad Iqbal menegaskan bahawa ia dibina atas tujuan kemanusian untuk penduduk Gaza, sekali gus menafikan tuduhan zionis berkenaan.

"Hospital Indonesia di Gaza adalah kemudahan yang dibina oleh rakyat Indonesia sepenuhnya untuk tujuan kemanusiaan dan untuk memenuhi keperluan perubatan rakyat Palestin di Gaza," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sehari selepas Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Daniel Hagari menuduh tapak Hospital Indonesia telah dibina di atas rangkaian terowong Hamas, selain digunakan oleh Hamas sebagai pangkalan untuk melancarkan roket ke Israel.

Lembaga Medik dan Kemanusiaan (MER-C) yang mengendalikan hospital terbabit turut menafikan kemudahan itu digunakan Hamas.

Ketuanya, Abdul Murad berkata, tuduhan Israel tersebut tidak mustahil bakal dijadikan syarat untuk IDF melancarkan serangan ke atas hospital berkenaan.

"Tuduhan IDF adalah prasyarat untuk mewajarkan serangan terhadap kami. Oleh itu, kami perlu menyangkalnya," tegas beliau.

Dalam pada itu, Hamas telah berulang kali menafikan tuduhan Israel bahawa hospital dan infrastruktur awam lain digunakan untuk operasinya.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, lebih 10,000 orang dengan 4,000 daripadanya adalah kanak-kanak telah dibunuh Israel sejak 7 Oktober lalu. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA