GAZA, 7 Oktober - Puluhan pemegang pasport asing dan berapa mangsa perang yang cedera dari Gaza melintasi pintu Rafah untuk ke Mesir bermula semalam.
Menurut sumber di Mesir, pintu Rafah dibuka semula selepas laluan itu ditutup selama tiga hari.
Pihak berkuasa sempadan Gaza berkata, penduduk Mesir dan warga asing yang mana nama mereka tersenarai dalam kelulusan sejak Rabu lalu akan dibenarkan meninggalkan Gaza.
Mereka akan menggunakan satu-satunya jalan keluar dari Gaza yang tidak bersempadan dengan Israel.
Menurut pegawai di Mesir, jumlah warga asing dan tanggungan mereka serta penduduk Gaza yang cedera berhenti menggunakan laluan itu sejak Sabtu selepas sebuah ambulans diserang Israel.
Sementara itu, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah lori bantuan kemanusiaan yang melalui lintasan itu juga berkurangan kepada 25 lori sejak Ahad lalu, berbanding 102 lori pada Khamis.
Proses pemindahan yang bersambung semula pada semalam menyaksikan seramai 80 pemegang pasport dwi-kerakyatan dan 17 mangsa yang cedera meninggalkan Rafah pada awal petang.
Manakala 48 trak bantuan menuju ke Gaza.
Mesir juga berusaha mendapatkan jaminan bagi keselamatan ambulans yang membawa mangsa yang terkesan dengan peperangan itu termasuk kenderaan pengiring Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).
“Sebarang usaha membolehkan konvoi ambulans membawa mangsa perang ke lintasan Rafah mesti diiringi kenderaan ICRC dan PBB bagi melindungi mereka daripada pengeboman Israel, seperti yang berlaku sebelum ini,” kata pejabat media Hamas.
ICRC berkata, pihaknya sudah mengiringi konvoi empat ambulans membawa pesakit dari Hospital al-Shifa di Bandar Gaza menuju ke sempadan Rafah pada Isnin lalu.
Pihak berkuasa Palestin menyenaraikan nama mereka yang diluluskan bagi pemindahan oleh pihak berkuasa Mesir dan Israel sejak 1 November sehingga Sabtu lalu.
Setakat ini, Israel masih tidak membenarkan penghantaran bahan api, yang amat diperlukan bagi membekalkan air bersih, penjana kuasa hospital dan penghantaran bantuan, daripada memasuki Gaza dari Mesir. – REUTERS