WASHINGTON, 5 Mei- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan beliau telah mengarahkan pelaksanaan tarif import sebanyak 100 peratus ke atas semua filem tempatan yang diterbitkan di luar negara.
Beliau mendakwa industri perfileman Hollywood kini "semakin musnah" akibat kecenderungan syarikat produksi AS menjalankan penggambaran di luar negara.
Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump berkata arahan tersebut diberikan kepada Jabatan Perdagangan dan Wakil Perdagangan AS bagi memulakan proses pelaksanaan segera dasar tersebut.
"Saya mengarahkan Jabatan Perdagangan dan Wakil Perdagangan AS untuk segera memulakan proses tarif 100 peratus ke atas semua filem yang memasuki negara kita yang dihasilkan di negara asing," katanya.
Trump mendakwa industri filem Amerika sedang "mati dengan pantas" kerana negara luar menawarkan pelbagai insentif bagi menarik penggiat seni AS berpindah keluar dan menyifatkan keadaan itu sebagai ancaman keselamatan negara.
Pengumuman itu hadir di tengah kritikan terhadap dasar perdagangan agresif Trump termasuk tarif tinggi terhadap China yang kini membalas dengan mengurangkan import filem dari AS.
Namun, butiran lanjut mengenai pelaksanaan dasar berkenaan belum diperincikan. -AFP