WASHINGTON, 26 Ogos - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengugut akan mengenakan tarif tambahan terhadap negara yang melaksanakan cukai digital sekiranya undang-undang berkenaan tidak dimansuhkan.
Dalam hantaran di media sosial, Trump mendakwa cukai digital itu bersifat diskriminasi kerana merugikan teknologi Amerika Syarikat sambil memberi kelebihan kepada pesaing utamanya, China.
Beliau menegaskan sekiranya cukai berkenaan tidak ditarik balik, Amerika Syarikat akan mengenakan tarif besar ke atas eksport negara terbabit selain menyekat eksport teknologi dan cip keluaran syarikat AS.
Cukai digital dilaksanakan oleh beberapa negara, khususnya di Eropah, terhadap hasil jualan penyedia perkhidmatan digital seperti Google, Meta, Apple dan Amazon.
Isu itu sejak sekian lama menjadi punca ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan beberapa sekutunya.-REUTERS