SYDNEY, 26 Ogos - Polis Australia sedang memburu seorang lelaki bersenjata yang menembak mati dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi ketika pihak berkuasa cuba menyerahkan waran berhubung kes dakwaan salah laku seksual lampau di sebuah kawasan luar bandar di negeri Victoria, semalam.
Polis Victoria dalam kenyataan di media sosial memaklumkan kejadian berlaku di bandar kecil Porepunkah, kira-kira 300 kilometer timur laut Melbourne dan orang ramai diminta menjauhi kawasan berkenaan.
Menurut laporan media tempatan, suspek dipercayai melepaskan tembakan dalam serangan hendap ketika polis tiba untuk menyerahkan waran, sebelum melarikan diri bersama beberapa ahli keluarga termasuk kanak-kanak.
Pasukan khas bersenjata dikerahkan ke lokasi, sementara media Australia melaporkan suspek dipercayai berfahaman 'sovereign citizen', iaitu kumpulan yang menolak kesahihan kerajaan.
Pesuruhjaya Polis Persekutuan Australia, Reece Kershaw, menyuarakan kebimbangan serius terhadap nasib anggota terlibat dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Datuk Bandar Porepunkah, Sarah Nicholas, menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi besar yang mengejutkan komuniti kecil berpenduduk 1,000 orang itu.
Akibat insiden tersebut, kemudahan awam termasuk perpustakaan dan pusat maklumat ditutup, manakala sebuah sekolah rendah turut diarahkan berkurung sebelum arahan itu ditarik balik. Lapangan terbang tempatan juga ditutup bagi memberi laluan kepada operasi kecemasan.-REUTERS