WASHINGTON, 19 Disember -Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani satu arahan yang mengesyorkan pelonggaran peraturan persekutuan berkaitan ganja.
Ia langkah yang berpotensi mengubah dasar keras kerajaan AS terhadap bahan itu selama beberapa dekad.
Menurut pegawai kanan pentadbiran, arahan berkenaan menggesa Peguam Negara AS mempercepat proses pengelasan semula ganja bawah Akta Bahan Terkawal,
Langkah itu boleh menyaksikan ganja diklasifikasikan sebagai bahan Jadual III, setaraf dengan ubat penahan sakit tertentu dan bahan perubatan lain yang dianggap kurang berbahaya.
Trump berkata, keputusan itu bertujuan membantu individu yang mengalami kesakitan kronik dan memerlukan rawatan perubatan.
“Ramai orang meminta saya berbuat demikian, termasuk mereka yang telah lama hidup dalam kesakitan,” katanya kepada wartawan di White House.
Jika dilaksanakan, ia akan menjadi antara perubahan terbesar dasar persekutuan terhadap ganja, berpotensi melonggarkan hukuman jenayah, memperluas penyelidikan perubatan serta membuka ruang kepada pembiayaan dan pelaburan industri kanabis.
Bagaimanapun, ganja akan kekal menyalahi undang-undang di peringkat persekutuan dan terus tertakluk kepada undang-undang negeri yang berbeza-beza.
Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA) akan menilai cadangan berkenaan sebelum membuat keputusan muktamad mengenai pengelasan semula itu. -REUTERS