fb fb fb fb fb

Lula sahkan veto RUU kurangkan hukuman penjara Bolsonaro

Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Brazil / REUTERS

BRASILIA, 19 Disember -Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva mengesahkan beliau akan memveto rang undang-undang (RUU) yang diluluskan Kongres bagi mengurangkan hukuman penjara bekas Presiden, Jair Bolsonaro.

RUU itu diluluskan Senat pada Rabu, selepas mendapat kelulusan Dewan Rakyat minggu lalu, ketika Bolsonaro mula menjalani hukuman penjara atas kesalahan merancang rampasan kuasa.

Bolsonaro dijatuhi hukuman penjara 27 tahun selepas didapati bersalah merancang cubaan menggulingkan Lula susulan kekalahannya dalam pilihan raya presiden 2022.

Lula berkata, beliau tidak akan meluluskan RUU berkenaan apabila ia dikemukakan kepadanya.

“Dengan segala hormat kepada Kongres, apabila RUU itu sampai ke meja saya, saya akan memvetonya,” katanya pada sidang media.

RUU itu turut memperuntukkan pengurangan hukuman terhadap individu yang disabitkan kesalahan berkaitan rusuhan Januari 2023, apabila penyokong Bolsonaro menyerbu dan merosakkan Istana Presiden, Mahkamah Agung dan bangunan Kongres.

Bolsonaro mula menjalani hukuman penjaranya pada November lalu. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN