fb fb fb fb fb

Gabungan syarikat Trump-TAE cetus isu etika

Antara peralatan yang berada di dalam kilang TAE Technologies / REUTERS

WASHINGTON, 19 Disember -Penggabungan bernilai AS$6 bilion melibatkan syarikat media sosial milik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan syarikat teknologi tenaga nuklear gabungan, TAE Technologies menimbulkan persoalan etika, menurut pakar.

Profesor Peter Loge dari Universiti George Washington berkata, penglibatan nama presiden dalam entiti komersial yang berpotensi menerima sokongan kerajaan persekutuan menimbulkan kebimbangan konflik kepentingan.

Jelas beliau, isu etika timbul apabila syarikat yang dikaitkan secara langsung dengan presiden atau keluarganya berurusan dengan agensi kerajaan atau bergantung kepada dana awam.

“Apabila nama presiden dikaitkan dengan perniagaan yang memerlukan sokongan persekutuan, persoalan etika tidak dapat dielakkan,” katanya.

Penggabungan itu melibatkan Trump Media and Technology Group dan TAE Technologies, sebuah syarikat tenaga gabungan yang memerlukan sokongan peraturan dan pembiayaan kerajaan bagi membangunkan loji janakuasa fusion berskala utiliti pertama di dunia, yang dijangka bermula tahun depan.

TAE dan beberapa syarikat fusion lain baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan pegawai Jabatan Tenaga AS, tidak lama selepas jabatan itu menubuhkan pejabat fusion pertamanya.

Loge berkata, teknologi gabungan masih belum dapat dikomersialkan sepenuhnya dan memerlukan sokongan persekutuan yang besar, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada syarikat berkenaan akan mendapat kelebihan tidak adil.

Selepas penggabungan itu dimuktamadkan pada pertengahan 2026, pemegang saham kedua-dua syarikat akan memiliki kira-kira 50 peratus entiti baharu, dengan Trump dijangka memegang sekitar 20 peratus pegangan.

Trump Media sebelum ini mencatat kerugian berterusan, termasuk AS$54.8 juta bagi suku tahun berakhir September lalu.

Loge mencadangkan Trump mempertimbangkan untuk menggugurkan penggunaan namanya pada syarikat-syarikat terlibat bagi mengelakkan persepsi salah guna kuasa.

Lembaga pengarah syarikat gabungan itu akan dianggotai Ketua Pegawai Eksekutif Trump Media Devin Nunes, Ketua Pegawai Eksekutif TAE Michl Binderbauer serta Donald Trump Jr. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN