WASHINGTON, 19 Disember- TikTok pada Khamis mengumumkan telah memeterai perjanjian usahasama dengan sekumpulan pelabur bagi membolehkan platform media sosial itu meneruskan operasinya di Amerika Syarikat, sekali gus mengelakkan ancaman larangan susulan kebimbangan terhadap pemilikan syarikat China, lapor media AS.
Menurut memo dalaman yang dipetik Bloomberg dan Axios, Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Chew, memaklumkan kepada kakitangan bahawa TikTok dan syarikat induknya, ByteDance, telah bersetuju menubuhkan entiti baharu bersama Oracle, Silver Lake dan firma pelaburan berpangkalan di Abu Dhabi, MGX, sebagai pelabur utama.
Pengerusi Eksekutif dan pengasas Oracle, Larry Ellison, dikenali sebagai sekutu lama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Chew berkata, kira-kira satu pertiga pegangan dalam usaha sama TikTok di AS akan dimiliki oleh pelabur sedia ada ByteDance, manakala hampir 20 peratus akan kekal di bawah ByteDance iaitu had maksimum pemilikan yang dibenarkan kepada syarikat China mengikut undang-undang AS.
Penstrukturan semula itu dibuat susulan undang-undang yang diluluskan ketika pentadbiran Presiden Joe Biden, yang mewajibkan ByteDance menjual operasi TikTok di AS atau berdepan larangan di pasaran terbesarnya.
Penggubal dasar AS, termasuk Trump semasa penggal pertamanya, sebelum ini memberi amaran bahawa China berpotensi menggunakan TikTok untuk mengumpul data rakyat Amerika atau mempengaruhi pendapat awam melalui algoritma canggih platform itu.
Trump bagaimanapun telah beberapa kali menangguhkan penguatkuasaan undang-undang tersebut menerusi perintah eksekutif, dengan lanjutan terbaharu sehingga Januari depan.
Perjanjian itu mengesahkan pengumuman White House pada September lalu yang menyatakan satu usaha sama baharu telah dipersetujui dan memenuhi keperluan undang-undang 2024.
“Selepas dimuktamadkan, usaha sama di AS akan beroperasi sebagai entiti bebas dengan kuasa penuh terhadap perlindungan data AS, keselamatan algoritma, moderasi kandungan dan jaminan perisian,” kata Chew dalam memo tersebut.
Beliau turut menjelaskan bahawa entiti TikTok Global di AS akan menguruskan kebolehoperasian produk global serta aktiviti komersial tertentu, termasuk e-dagang, pengiklanan dan pemasaran.
Bagaimanapun, memo berkenaan tidak menjelaskan secara terperinci sama ada unit tersebut masih akan dimiliki oleh ByteDance.
Memo itu juga merupakan petunjuk pertama bahawa TikTok telah bersetuju dengan perjanjian yang diumumkan pentadbiran Trump, yang memerlukan kelulusan kerajaan China untuk diteruskan.
Trump sebelum ini menamakan Ellison sebagai antara pemain utama dalam susunan perjanjian tersebut. Ellison turut kembali menjadi tumpuan menerusi penglibatannya dalam perkongsian kecerdasan buatan (AI) bersama Trump dan OpenAI, selain membiayai pengambilalihan Paramount oleh anaknya, David Ellison, serta terbabit dalam persaingan bidaan dengan Netflix bagi mengambil alih Warner Bros.- AFP