fb fb fb fb fb

Harrison Ford terima anugerah pencapaian sepanjang hayat

Harrison Ford/ Foto AFP

LOS ANGELES. 19 Disember - Pelakon legenda Hollywood, Harrison Ford, bakal menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada SAG-AFTRA, kesatuan utama yang mewakili pelakon di Amerika Syarikat, umum organisasi itu pada Khamis.

Ford akan menerima anugerah berprestij SAG-AFTRA Life Achievement Award sempena majlis Actor Awards yang dijenamakan semula yang sebelum ini dikenali sebagai Screen Actors Guild Awards yang dijadual berlangsung pada Mac ini.

Anugerah tahunan itu diberikan kepada individu yang melambangkan “nilai tertinggi profesion lakonan”, dan merupakan pengiktirafan terbaharu buat Ford yang telah membintangi pelbagai watak ikonik merentasi dekad, termasuk Indiana Jones dan Han Solo.

“Harrison Ford ialah figura luar biasa dalam kehidupan masyarakat Amerika; seorang pelakon yang watak-watak ikoniknya telah membentuk budaya dunia,” kata Presiden SAG-AFTRA, Sean Astin.

“Kerjayanya sentiasa mengujakan dan berakar kepada kecintaannya terhadap seni lakonan. Kami berbesar hati meraikan seorang legenda yang kesannya terhadap industri ini tidak terhapus,” katanya lagi.

Ford, yang pernah bekerja sebagai tukang kayu sebelum meraih populariti menerusi filem American Graffiti (1973) arahan George Lucas, menyifatkan pemilihannya sebagai penerima anugerah itu sebagai satu penghormatan besar.

“Pengiktirafan daripada rakan-rakan pelakon amat bermakna buat saya,” katanya.

“Saya menghabiskan sebahagian besar hidup di set penggambaran bersama pelakon dan kru yang hebat, dan sentiasa bersyukur menjadi sebahagian daripada komuniti ini.”

Selain francais Star Wars dan Indiana Jones, Ford juga dikenali menerusi wataknya sebagai pemburu replikant Rick Deckard dalam filem Blade Runner (1982), yang diulanginya dalam Blade Runner 2049 lebih tiga dekad kemudian.

Di kaca televisyen, Ford kebelakangan ini mencuri perhatian menerusi drama Barat 1923 bergandingan dengan pemenang Oscar, Helen Mirren, serta siri komedi-drama Shrinking.

Antara penerima terdahulu anugerah tersebut ialah Robert De Niro, Jane Fonda, Morgan Freeman dan Elizabeth Taylor.

Majlis Anugerah Pelakon Tahunan ke-32 SAG-AFTRA akan berlangsung pada 1 Mac dan disiarkan secara langsung menerusi Netflix.- AFP

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI