fb fb fb fb fb

Australia isytihar Hari Refleksi Nasional seminggu tragedi tembakan Bondi Beach

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, meletakkan bunga di Bondi Pavillion, Bondi Beach, lokasi serangan tembakan beramai-ramai yang meragut 15 nyawa/Foto AFP

SYDNEY, 19 Disember – Australia akan memperingati genap seminggu tragedi tembakan beramai-ramai di Bondi Beach dengan mengadakan hari refleksi nasional, kata Perdana Menteri Anthony Albanese pada Jumaat, sambil mengumumkan perancangan kerajaan untuk melaksanakan skim pembelian balik senjata api secara besar-besaran.

Albanese menggesa rakyat Australia menyalakan lilin pada pukul 6.47 petang, Ahad, 21 Disember, iaitu tepat seminggu selepas serangan berdarah itu berlaku.

“Hari ini adalah untuk kita berdiri bersama komuniti, memeluk mereka dalam kesedihan, dan seluruh rakyat Australia berkongsi rasa dukacita,” katanya kepada pemberita.

“Ia juga merupakan detik untuk berhenti sejenak, merenung, dan menegaskan bahawa kebencian serta keganasan tidak akan pernah mentakrifkan siapa kita sebagai rakyat Australia,” katanya.

Menurut Albanese, kerajaan turut merancang untuk mengadakan hari berkabung nasional yang berasingan pada awal tahun hadapan bagi memberi ruang kepada keluarga mangsa menguruskan pengebumian serta menyokong mereka yang masih dalam proses pemulihan.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pelaksanaan skim pembelian balik senjata api di seluruh negara bagi membeli senjata lebihan, senjata yang baru diharamkan serta senjata api haram.

Katanya, skim tersebut akan menjadi yang terbesar sejak tahun 1996, ketika Australia memperketatkan undang-undang senjata api susulan tragedi Port Arthur yang mengorbankan 35 nyawa.

“Undang-undang senjata api Australia telah melalui pembaharuan besar selepas tragedi Port Arthur,” katanya.

“Peristiwa mengerikan di Bondi menunjukkan kita perlu mengeluarkan lebih banyak senjata dari jalanan.”

Dalam serangan pada petang Ahad lalu, Sajid Akram dan anaknya, Naveed, didakwa membunuh 15 orang dalam serangan bermotifkan anti-Yahudi di Bondi Beach, menjadikannya insiden tembakan beramai-ramai paling maut di Australia sejak tragedi Port Arthur.- AFP

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI