BRUSSELS, 19 Disember - Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) pada Jumaat bersetuju untuk memberikan pinjaman bernilai 90 bilion euro kepada Ukraine bagi menampung kekurangan bajet negara itu, namun gagal mencapai kata sepakat untuk menggunakan aset Rusia yang dibekukan sebagai sumber dana.
Keputusan itu dicapai selepas lebih daripada sehari rundingan pada sidang kemuncak di Brussels, menawarkan Ukraine suntikan kewangan yang sangat diperlukan ketika Presiden AS, Donald Trump, mendorong penyelesaian cepat bagi menamatkan perang Rusia-Ukraine.
“Kami ada perjanjian. Keputusan untuk memberikan 90 bilion euro sokongan kepada Ukraine untuk 2026-27 telah diluluskan,” kata Ketua EU, Antonio Costa, di X. “Kami komited, kami menunaikan janji.”
EU memutuskan untuk memberikan pinjaman yang dijamin melalui belanjawan bersama blok itu, selepas cadangan utama untuk menggunakan sebahagian daripada 200 bilion euro aset bank pusat Rusia yang dibekukan di EU gagal akibat permintaan Belgium untuk jaminan perkongsian liabiliti yang terlalu tinggi.
Canselor Jerman, Friedrich Merz, yang menyokong rancangan aset Rusia, berkata keputusan pinjaman tersebut tetap memberi isyarat jelas kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin.
EU menganggarkan Ukraine memerlukan tambahan 135 bilion euro ($159 bilion) bagi mengekalkan kelangsungan ekonomi dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan krisis tunai dijangka bermula April 2026.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, sebelum sidang kemuncak meminta agar aset Rusia digunakan sebagai langkah yang adil dan moral, untuk membina semula kerosakan akibat serangan Rusia.
“Penggunaan aset Rusia adalah moral, adil dan sah dari segi undang-undang,” katanya.
Walaupun rancangan itu tidak dilaksanakan, Zelensky menyifatkan keputusan EU untuk menyediakan pembiayaan melalui cara lain tetap menjadi kelegaan besar bagi Ukraine.
Zelensky mengumumkan delegasi Ukraine dan AS akan mengadakan perbincangan lanjut di Amerika Syarikat pada Jumaat dan Sabtu, bagi mendapatkan jaminan keselamatan tambahan sekiranya Rusia menyerang semula.
“Apakah tindakan Amerika jika Rusia menyerang lagi? Bagaimana jaminan keselamatan ini akan berfungsi?” soalnya.
Sementara itu, Trump terus memberi tekanan kepada Kyiv, menyatakan harapan agar Ukraine “bergerak dengan cepat” untuk mencapai persetujuan.- AFP