TOKYO, 19 Disember - Harga pengguna teras Jepun pada November meningkat 3.0 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong oleh kenaikan harga makanan dan tenaga.
Menurut data kerajaan, peningkatan indeks harga pengguna (CPI) peringkat nasional, tidak termasuk makanan segar yang tidak menentu, adalah selari dengan kenaikan 3.0 peratus yang dicatatkan pada Oktober.
Ini merupakan bulan ke-51 berturut-turut CPI teras Jepun mencatatkan peningkatan tahun ke tahun.
Kadar inflasi, yang menjadi petunjuk utama kepada Bank Jepun dalam menentukan masa sesuai untuk menaikkan kadar faedah, kekal pada atau melebihi sasaran 2 peratus bank pusat itu sejak April 2022.
CPI teras-teras, yang mengecualikan kedua-dua harga tenaga dan makanan segar bagi mencerminkan trend harga asas, meningkat 3.0 peratus pada November.
Harga makanan, tidak termasuk barangan segar, melonjak 7.0 peratus, manakala harga tenaga meningkat 2.5 peratus.
Media Jepun dan para pakar menyuarakan kebimbangan bahawa dasar fiskal yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, yang telah mempercepatkan penyusutan nilai yen, berpotensi terus mendorong kenaikan harga di negara itu.- REUTERS