WASHINGTON, 19 Ogos – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bersetuju mengenakan sekatan baharu terhadap Rusia sekiranya Presiden Vladimir Putin gagal mengambil langkah wajar terhadap rundingan damai dengan Ukraine, kata Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Menurut Macron, walaupun Trump yakin perjanjian damai Ukraine-Rusia boleh dicapai, Moscow perlu diberi tekanan jika enggan bekerjasama.
“Trump memberi isyarat kesediaan untuk melaksanakan sekatan, apa yang beliau panggil tarif utama dan sekunder,” kata Macron kepada media, di sini.
Tambah beliau, Trump juga telah bersetuju untuk bekerjasama dengan sekutunya bagi merangka kandungan jaminan keselamatan yang bakal menyokong perjanjian damai jika dimeterai.
Beliau menegaskan bahawa pemimpin-pemimpin Eropah juga mesti turut hadir di meja rundingan pada peringkat seterusnya, termasuk Turkiye dan negara-negara lain yang keselamatannya turut terjejas akibat konflik tersebut.
Bagaimanapun, beliau menyuarakan keraguan terhadap komitmen Rusia untuk mencapai perdamaian.
“Selagi beliau (Putin) merasakan beliau boleh menang melalui perang, beliau akan terus melakukannya.
“Matlamat utamanya ialah untuk merampas sebanyak mungkin wilayah, melemahkan dan memastikan Kiev tidak mampu berdiri sendiri atau berada di bawah pengaruh Rusia," katanya.
Trump sebelum ini menerima kunjungan Putin di Alaska dan telah mengadakan satu mesyuarat pelbagai hala yang berlangsung di Washington.
Mesyuarat itu turut dihadiri beberapa pemimpin Kesatuan Eropah. - REUTERS