WASHINGTON, 18 Ogos - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan menandatangani satu perintah eksekutif menjelang pilihan raya pertengahan penggal tahun hadapan yang menyasarkan undi pos dan penggunaan mesin pengiraan undi di seluruh negara.
"Saya akan mengetuai satu gerakan untuk menghapuskan undi pos, dan sementara kita dalam usaha ini, mesin pengiraan undi yang sangat tidak tepat, sangat mahal dan sangat kontroversial juga akan dihapuskan," menurut Trump dalam satu hantaran di media sosial.
Trump, anggota Republikan sebelum ini telah menandatangani satu perintah eksekutif pada 25 Mac yang menyasarkan sistem pilihan raya, tetapi telah disekat oleh mahkamah selepas negeri-negeri yang dipimpin Demokrat memfailkan saman.
Di Amerika Syarikat, pilihan raya diuruskan secara berasingan oleh setiap 50 negeri, namun Trump memberi amaran kepada mereka agar mematuhi arahannya.
Trump telah lama mendesak rakan-rakan Republikan untuk berusaha lebih keras dalam merombak sistem pengundian negara itu, namun ironinya beliau sendiri pernah mengundi melalui pos dalam beberapa pilihan raya sebelum ini dan turut menggesa penyokongnya berbuat demikian pada tahun 2024. -REUTERS