RAFAH, 18 Ogos - Mesir menyatakan kesediaan untuk menyertai pasukan antarabangsa yang mungkin akan ditempatkan di Gaza, dengan syarat misi itu disokong oleh resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan mempunyai "hala tuju politik".
"Kami sudah tentu bersedia untuk membantu dan menyumbang kepada sebarang pasukan antarabangsa yang akan ditempatkan di Gaza, mengikut parameter tertentu," kata Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty dalam sidang media bersama Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa di sempadan Rafah.
"Pertama sekali, mesti ada resolusi Majlis Keselamatan, mandat yang jelas dan mestilah dalam rangka hala tuju politik. Tanpa hala tuju politik, sia-sia untuk menghantar mana-mana pasukan ke sana," kata Abdelatty.
Jelas beliau, kewujudan rangka kerja politik akan membolehkan pasukan antarabangsa beroperasi dengan lebih berkesan dan menyokong rakyat Palestin untuk mencapai matlamat penubuhan negara Palestin yang merdeka di tanah air mereka sendiri.
Sementara itu Perdana Menteri Palestin berkata, sebuah jawatankuasa sementara akan menguruskan wilayah Gaza selepas perang berakhir, dengan kuasa penuh terletak di tangan kerajaan Palestin.
"Kita tidak mewujudkan entiti politik baharu di Gaza. Sebaliknya, kita mengaktifkan semula institusi-institusi dalam Negara Palestin dan kerajaannya di Gaza," kata Mustafa.
Mesir telah berulang kali menyeru kepada perpaduan Palestin bawah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), sebuah pertubuhan induk yang mendominasi Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan tidak termasuk kumpulan Hamas.
Walaupun Hamas sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menyokong idea jawatankuasa sementara bagi menyelia usaha bantuan, pembinaan semula dan tadbir urus, masih tidak jelas sama ada kumpulan itu bersedia untuk melepaskan kuasa di Gaza.
Hari ini, perunding Hamas di Kaherah menerima cadangan baharu bagi gencatan senjata dalam perang Gaza, menurut seorang pegawai Palestin.
Perdana Menteri Qatar yang merupakan perantara utama juga berada di Mesir untuk menggiatkan usaha mencapai perjanjian damai. -AFP