OSAKA, 18 Ogos - Dua anggota bomba terbunuh ketika cuba memadam kebakaran yang berlaku di sebuah bangunan di daerah beli belah terkemuka Dotombori di bandar Osaka, Jepun.
Tiga lagi anggota bomba serta seorang wanita dirawat di hospital akibat terhidu asap.
Kebakaran bermula di tingkat bawah sebuah bangunan tujuh tingkat di Soemoncho, daerah Chuo di sini, sekitar pukul 9:50 pagi waktu tempatan, mencetuskan panik dalam kalangan pengunjung, termasuk pelancong.
Kira-kira 40 meter persegi kawasan, termasuk sebahagian daripada bangunan dan premis bersebelahan dilaporkan rosak.
Menurut pihak berkuasa, api dengan pantas merebak ke bangunan bersebelahan berhampiran Dotombori di daerah Minami, kawasan yang sering dipenuhi pelancong dan pengunjung untuk beli-belah, sebelum keadaan berjaya dikawal sepenuhnya selepas hampir tiga jam.
Rakaman video menunjukkan kepulan asap hitam tebal membumbung ke langit ketika pasukan bomba berusaha memadamkan api.
Sekurang-kurangnya 51 jentera bomba dan sebuah helikopter dikerah ke lokasi kejadian.
Punca kebakaran masih dalam siasatan. -REUTERS