MOSCOW, 9 Februari- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengesahkan beliau telah berbincang melalui telefon dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin mengenai usaha menamatkan perang di Ukraine, lapor New York Post.
Perbualan itu merupakan komunikasi langsung pertama antara Putin dan seorang presiden AS sejak awal 2022.
Trump sebelum ini berjanji untuk menamatkan konflik tersebut, namun belum mengumumkan secara terbuka kaedah yang akan digunakan.
Minggu lalu, beliau menyifatkan perang itu sebagai pertumpahan darah dan mendakwa pasukannya telah mengadakan "perbincangan yang sangat baik".
Dalam wawancara di atas pesawat Air Force One pada Jumaat, Trump enggan mendedahkan berapa kali beliau dan Putin telah berbincang.
"Dia (Putin) mahu melihat orang berhenti mati," kata Trump kepada New York Post.
Sementara itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, ketika diminta mengulas mengenai laporan tersebut oleh agensi berita TASS, berkata terdapat "banyak komunikasi yang berlaku melalui pelbagai saluran".
"Saya secara peribadi mungkin tidak mengetahui sesuatu perkara. Oleh itu, dalam kes ini, saya tidak dapat mengesahkan atau menafikannya," kata Peskov.
Konflik di timur Ukraine bermula pada 2014 selepas Presiden pro-Rusia digulingkan dalam Revolusi Maidan, disusuli dengan tindakan Rusia menawan Crimea.
Sejak itu, kumpulan pemisah pro-Rusia bertempur dengan tentera Ukraine.
Pada 2022, Putin menghantar ribuan tentera ke Ukraine dalam apa yang beliau gelar sebagai "operasi ketenteraan khas" bagi melindungi penutur bahasa Rusia di Ukraine dan menghalang ancaman NATO terhadap Rusia.
Bagaimanapun, Ukraine dan sekutu Baratnya, yang diketuai Amerika Syarikat, menuduh Rusia melakukan pencerobohan bersifat imperial dan berikrar untuk mengalahkan tentera Moscow.
Ketika ini, Rusia menguasai wilayah Ukraine yang hampir menyamai saiz negeri Virginia di Amerika Syarikat dan sedang membuat kemaraan pada kadar terpantas sejak fasa awal pencerobohan pada 2022.- REUTERS