KIEV, 9 Februari- Tentera Ukraine mengesahkan telah menembak jatuh 70 daripada 151 dron yang dilancarkan Rusia dalam serangan udara semalaman ke atas negara itu.
Menurut kenyataan tentera udara Ukraine, sebanyak 74 dron gagal mencapai sasaran mereka, dipercayai akibat gangguan peperangan elektronik manakala dua lagi masih berada di udara.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, menyatakan bahawa sepanjang minggu ini, Rusia telah melancarkan 1,260 bom udara, hampir 750 dron dan lebih 10 peluru berpandu pelbagai jenis terhadap Ukraine.
Zelenskyy menegaskan bahawa industri ketenteraan Rusia bergantung kepada taktik mengelak sekatan, harga minyak yang tinggi serta kekurangan peluru berpandu dan dron jarak jauh Ukraine.
"Kami berterima kasih kepada semua rakan antarabangsa yang memperkukuh sekatan terhadap Rusia, namun usaha global yang lebih besar diperlukan bagi melemahkan keupayaan industri minyak negara itu," kata Zelenskiy menerusi Telegram.
Beliau turut menambah bahawa Ukraine akan memperluas pengeluaran peluru berpandu dan dron serta menggesa rakan antarabangsa untuk melabur dalam industri pertahanan Ukraine.-REUTERS