fb fb fb fb fb

Trump lantik penyokong setia dalam pentadbiran baharu

Donald Trump bersama antara penyokong setianya Elise Stefanik /Foto AFP

WASHINGTON, 12 November - Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu dipilih, Donald Trump, mengumumkan ahli pentadbirannya dengan menamakan penyokong setia untuk beberapa jawatan penting.

Beliau juga menyatakan hasratnya untuk melantik Kabinet tanpa melalui pengawasan Senat.

Pemilihan staf Trump ini mendapat perhatian dan penelitian yang tinggi, dengan beliau berjanji bahawa pentadbiran kedua ini akan melakukan rombakan besar dalam kerajaan persekutuan.

Trump berkata, pegawai imigresen Tom Homan akan dilantik sebagai 'ketua sempadan', manakala Lee Zeldin, sekutu politik lama, dicadangkan sebagai ketua Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA).

Sementara itu, anggota Kongres New York, Elise Stefanik pula dipilih sebagai duta AS ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Media tempatan turut melaporkan bahawa Stephen Miller, arkitek dasar imigrasi 'larangan Muslim' Trump pada penggal pertama, akan menjadi timbalan ketua staf bagi portfolio yang luas.

Pemilihan itu menekankan hasrat Trump untuk menunaikan janji utama kempen, dengan Homan, yang terkenal dengan pendirian keras terhadap pengusiran pendatang sebagai ketua Agensi Penguatkuasaan Imigresen (ICE), dijangka memainkan peranan penting.

Trump juga berjanji untuk melaksanakan "operasi pengusiran terbesar dalam sejarah negara itu " di awal penggalnya — satu matlamat yang disokong oleh Homan.

Stefanik, yang menyokong kuat Israel, akan mewakili pentadbiran AS di PBB ketika isu konflik di Gaza dan Lubnan menjadi tumpuan diplomasi global.

Pelantikan Stefanik dan Zeldin pula memerlukan kelulusan Senat, namun Trump berharap untuk memintas proses itu dengan melantik mereka ketika Senat dalam cuti.

Trump dilihat menjadikan isu pelantikan ini sebagai ujian kesetiaan dan menuntut agar sesiapa yang ingin menjadi pemimpin Senat Republikan mesti menyokong pelantikan ini. - AFP

Trainee