fb fb fb fb fb

PBB pertimbang tindakan terhadap perang di Sudan

Foto Reuters

NEW YORK, 12 November - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sedang membincangkan resolusi draf yang dirangka oleh Britain, menuntut pihak bertelagah di Sudan menghentikan permusuhan serta membenarkan penghantaran bantuan yang selamat, pantas dan tidak terhalang merentasi garisan hadapan dan sempadan.

Perang tercetus pada April 2023 akibat perebutan kuasa antara tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) menjelang peralihan yang dirancang ke pemerintahan awam, mencetuskan krisis pemindahan terbesar di dunia.

Krisis itu turut menyaksikan gelombang keganasan berasaskan etnik yang sebahagian besarnya disalahkan ke atas RSF.

Bagaimanapun, RSF menafikan sebarang keterlibatan dalam mensasarkan orang awam dan menyatakan bahawa insiden-insiden tersebut disebabkan oleh pelaku yang bertindak sendiri.

Dalam sekatan pertama PBB sepanjang konflik tersebut, sebuah jawatankuasa Majlis Keselamatan mengenakan sekatan terhadap dua jeneral RSF minggu lalu.

"Selepas 19 bulan perang, kedua-dua pihak terlibat dalam pencabulan hak asasi manusia yang teruk, termasuk kejadian rogol beramai-ramai terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan," ujar Duta Britain ke PBB, Barbara Woodward, kepada pemberita awal bulan ini ketika Britain mengambil alih jawatan presiden Majlis Keselamatan bagi bulan November.

"Lebih separuh penduduk Sudan kini menghadapi kekurangan makanan yang serius," katanya. "Namun demikian, SAF (Tentera Sudan) dan RSF kekal fokus bertempur antara satu sama lain, bukan menangani kebuluran dan penderitaan rakyat."

Britain mahu mengemukakan draf resolusi itu untuk diundi secepat mungkin, kata para diplomat. Untuk diterima, resolusi memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undian sokongan dan tiada veto oleh Amerika Syarikat (AS), Perancis, Britain, Rusia, atau China.

PBB melaporkan hampir 25 juta orang, separuh penduduk Sudan memerlukan bantuan, dengan kebuluran telah menimpa kem pelarian dan 11 juta orang telah kehilangan tempat tinggal dan hampir 3 juta daripada mereka telah berpindah ke negara lain.

Draf teks oleh Britain "menuntut agar Pasukan Sokongan Pantas segera menghentikan serangan" di seluruh Sudan dan "menuntut agar pihak bertelagah segera menghentikan permusuhan."

Ia juga "menyeru pihak-pihak dalam konflik untuk membenarkan dan memudahkan akses kemanusiaan yang penuh, selamat, pantas, dan tidak terhalang merentasi sempadan ke dalam dan seluruh Sudan."

Draf itu turut menyeru agar lintasan sempadan Adre dengan Chad kekal dibuka untuk penghantaran bantuan "dan menekankan keperluan mengekalkan akses kemanusiaan melalui semua lintasan sempadan, selagi keperluan kemanusiaan berterusan, tanpa sebarang halangan."

Kelulusan selama tiga bulan oleh pihak berkuasa Sudan kepada PBB dan kumpulan bantuan bagi menggunakan lintasan sempadan Adre untuk mencapai Darfur dijangka tamat pertengahan November.

Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan dua resolusi sebelum ini mengenai Sudan dimana pada Mac menyeru penghentian segera permusuhan sempena bulan suci Ramadan, manakala pada Jun, menuntut pemberhentian pengepungan sebuah bandar berpopulasi 1.8 juta di Darfur Utara oleh RSF.

Kedua-dua resolusi, yang diluluskan dengan 14 undian menyokong dan satu abstain oleh Rusia, turut menyeru akses kemanusiaan yang penuh, pantas, selamat, dan tidak terhalang.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN