fb fb fb fb fb

Korea Utara ratifikasi perjanjian pertahanan bersama Rusia

Foto Reuters

SEOUL, 12 November – Korea Utara telah meratifikasi perjanjian pertahanan bersama dengan Rusia yang ditandatangani oleh pemimpin kedua-dua negara pada Jun lalu, menyeru setiap pihak untuk membantu satu sama lain sekiranya berlaku serangan bersenjata, menurut laporan media rasmi KCNA pada Selasa.

Laporan itu muncul di tengah kritikan antarabangsa berhubung peningkatan kerjasama ketenteraan antara Korea Utara dan Rusia.

Korea Utara didakwa telah menghantar puluhan ribu tentera ke Rusia bagi menyokong perang negara tersebut menentang Ukraine.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, menandatangani dekri untuk meratifikasi perjanjian tersebut pada Isnin, seperti yang dilaporkan KCNA, dengan menyatakan bahawa perjanjian tersebut akan berkuat kuasa sebaik sahaja kedua-dua pihak bertukar instrumen ratifikasi.

Presiden Rusia, Vladimir Putin, turut menandatangani perjanjian itu menjadi undang-undang, yang mensyaratkan kedua-dua negara untuk "segera memberikan bantuan ketenteraan dan lain-lain menggunakan semua cara yang ada" jika salah satu pihak berada dalam keadaan perang.

Kim memeterai perjanjian itu bersama Putin dalam satu sidang kemuncak pada Jun, menyifatkannya sebagai langkah untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap yang serupa dengan "perikatan".

Pihak Seoul, Washington, dan Kiev melaporkan bahawa lebih daripada 10,000 tentera Korea Utara kini berada di Rusia.

Pegawai Amerika Syarikat dan menteri pertahanan Ukraine menyatakan bahawa sebahagian daripada tentera tersebut telah terlibat dalam pertempuran di Kursk, berhampiran sempadan Ukraine.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, minggu lalu menyatakan bahawa tentera Korea Utara telah mengalami korban dalam pertempuran dengan pasukan tenteranya, dengan pertempuran itu membuka "lembaran baharu dalam ketidakstabilan di dunia."-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN