GAZA CITY, 25 November -Hujan lebat dan angin kencang yang melanda Gaza sejak semalam terus menambah derita ribuan penduduk Palestin yang kini berlindung dalam khemah sementara.
- Hujan lebat dan angin kencang menambah derita pelarian Gaza, khemah sementara musnah dan didapati dipenuhi air.
- Kekurangan bekalan: keluarga terlantar hanya ada selimut lama, anak-anak kesejukan, khemah uzur tak mampu bertahan.
- Bantuan kritikal diperlukan — 300,000 khemah baharu dan penghantaran terpal, makanan serta ubat-ubatan segera.
Salah seorang pelarian, Noor Hamadah, 27, hanya mampu memeluk anak-anaknya agar tidak menggigil dalam kesejukan malam.
“Malam tadi hujan sangat lebat, anak-anak saya langsung tak cukup pakaian, semuanya basah dan kesejukan.
Anak bongsu saya baru setahun empat bulan. Kami cuma ada empat helai selimut lama,” katanya sambil menunjukkan khemah yang dipenuhi air.

Noor Hamadah, Pelarian Gaza
Noor yang berasal dari Beit Hanoun berkata, sejak kediaman mereka musnah dibedil Israel, keluarganya terpaksa tinggal di tepi jalan selepas gagal mendapatkan tempat di kem perlindungan.
Dia turut memberitahu, khemah yang digunakan lebih setahun sudah terlalu uzur untuk bertahan dalam cuaca buruk.
Sementara itu, kerajaan Gaza menganggarkan kerugian akibat cuaca buruk minggu lalu mencecah AS$4.5 juta, termasuk kemusnahan 22,000 khemah, kerosakan makanan, ubat-ubatan dan infrastruktur.
Kumpulan bantuan tempatan pula menganggarkan 300,000 khemah baharu diperlukan segera bagi menampung jumlah pelarian yang semakin meningkat.
Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), keadaan di Gaza bertambah kritikal selepas hujan menyebabkan banyak kawasan perlindungan dinaiki air.
Pasukan bantuan kini mengagihkan khemah dan terpal baharu sambil menilai tahap kerosakan di lapangan.
Lebih dua tahun serangan oleh penjajah Israel memaksa hampir seluruh penduduk Gaza meninggalkan rumah masing-masing.
Ratusan ribu masih bergelut bertahan di dalam khemah nipis yang tidak mampu melindungi mereka daripada hujan dan cuaca sejuk. -REUTERS