fb fb fb fb fb

Ekonomi Palestin alami kejatuhan terburuk sejak 1972 susulan genosid Israel

Palestin mengalami skala kemusnahan yang amat dahsyat susulan serangan berterusan penjajah Israel / REUTERS

GENEVA, 25 November -Ekonomi Palestin mencatat kejatuhan paling buruk dalam sejarah akibat serangan Israel di Gaza dan sekatan berterusan di Tebing Barat.

Menurut laporan Konferens Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), ekonomi wilayah Palestin merosot 30 peratus pada 2024 berbanding 2022.

UNCTAD melaporkan, kejatuhan itu adalah yang paling besar sejak 1972, mengatasi kemerosotan selepas Intifada Kedua pada tahun 2000.

Timbalan Setiausaha Agung UNCTAD, Pedro Manuel Moreno berkata, keadaan itu sangat membimbangkan.

“Operasi ketenteraan yang berpanjangan, ditambah sekatan lama, telah menolak ekonomi Palestin ke tahap kemerosotan paling teruk dalam rekod,” katanya pada sidang media di Geneva.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Palestin juga jatuh ke paras tahun 2003, sekali gus menghapuskan 22 tahun kemajuan pembangunan.

Laporan itu menyifatkan situasi tersebut antara 10 krisis ekonomi paling buruk di dunia sejak 1960.

Di Gaza, kemusnahan besar akibat dua tahun serangan Israel menjadikan wilayah itu dijangka bergantung kepada bantuan antarabangsa untuk tempoh yang panjang.

Sementara itu, Pakar Ekonomi UNCTAD, Rami Al Azzeh berkata, Gaza memerlukan beberapa dekad untuk kembali ke tahap pengeluaran sebelum serangan.

"Itu pun jika semua keadaan memihak kepada pemulihan.

KDNK per kapita Gaza kini hanya USD161 setahun, terendah di dunia," katanya.

Walaupun gencatan diumumkan pada 10 Oktober lalu, serangan udara Israel tetap berterusan.

Bantuan kemanusiaan juga masih lambat tiba, menyebabkan keadaan di Gaza kekal kritikal.

UNCTAD memberi amaran, terdapat risiko pembahagian wilayah Gaza dalam pelan politik baharu.

Di Tebing Barat, ekonomi turut mencatat kejatuhan paling buruk.

Sekatan pergerakan, kehilangan peluang pekerjaan dan halangan akses ekonomi menjadi punca utama.

Menurut Koordinator UNCTAD, Mutasim Elagraa, peningkatan keganasan kumpulan pelampau penempatan haram Israel menyebabkan ramai petani Palestin tidak dapat mengakses tanaman dan ternakan mereka.

“Serangan dan halangan ini semakin menekan ekonomi Palestin dan memburukkan lagi keadaan,” katanya. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN