GENEVA, 25 November -Sekurang-kurangnya 127 orang awam di Lubnan terbunuh akibat serangan tentera Israel sejak gencatan senjata dipersetujui hampir setahun lalu.
Menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (OHCHR), keadaan semakin membimbangkan apabila serangan rentas sempadan itu terus meningkat.
Jurucakap OHCHR, Thameen Al-Kheetan berkata, serangan berkenaan menjejaskan kawasan penempatan awam, termasuk bangunan kediaman serta kem pelarian.
"Hampir setahun selepas gencatan disepakati, kita masih menyaksikan peningkatan serangan tentera Israel yang mengorbankan orang awam dan memusnahkan harta benda.
Sekurang-kurangnya 127 orang awam terbunuh sejak 27 November 2024 hingga 24 November tahun ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan penduduk Lubnan,” katanya pada sidang media di sini.
Antara serangan paling buruk berlaku minggu lalu di kem pelarian Ein El-Hilweh berhampiran Sidon.
Insiden itu mengorbankan 13 orang termasuk 11 kanak-kanak, manakala sekurang-kurangnya enam cedera.
“Semua mangsa yang kami sahkan adalah orang awam.
Serangan itu menimbulkan kekhuatiran besar kemungkinan berlakunya pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata Al-Kheetan.
OHCHR menggesa siasatan segera, bebas dan telus terhadap serangan di Ein El-Hilweh serta insiden lain yang dipercayai melanggar undang-undang antarabangsa.
Rakaman dari Beirut Selatan dan Sidon menunjukkan bangunan kediaman runtuh, kenderaan rosak serta pasukan pertahanan awam menjalankan operasi menyelamat.
OHCHR turut menggesa semua pihak mematuhi gencatan senjata sepenuhnya bagi mengelakkan konflik lebih besar di sempadan Lubnan–Israel. -REUTERS