NEGROS OCCIDENTAL, 25 November -Ribut tropika Verbena membawa hujan lebat berterusan di beberapa wilayah tengah Filipina, menyebabkan banjir di kawasan rendah.
Di wilayah Negros Occidental, air naik secara mendadak sehingga memerangkap penduduk di atas bumbung rumah.
Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan bot serta tali keselamatan bagi membawa keluar penduduk terjejas ke kawasan selamat.
Menurut Palang Merah Filipina, operasi menyelamat masih diteruskan di kawasan yang paling terjejas.
Biro cuaca negara itu memaklumkan, Verbena dikesan berada di perairan Palawan pada Selasa malam dan dijangka keluar dari wilayah Filipina pada Khamis ini.
Ribut berkenaan membawa angin kencang dengan kelajuan maksimum 55 kilometer sejam, serta tiupan kuat sehingga 70 kilometer sejam.
Pergerakannya ke arah barat turut dipengaruhi monsun timur laut yang menguatkan lagi taburan hujan.
Keadaan banjir di beberapa kawasan dijangka berterusan sehingga ribut beransur keluar dari negara tersebut.