KUNAR, 25 November -Serangan udara yang didakwa dilakukan Pakistan di timur Afghanistan mengorbankan 10 penduduk.
Menurut pentadbiran Taliban, mangsa yang terbunuh terdiri daripada sembilan kanak-kanak dan seorang wanita.
Serangan yang berlaku malam tadi turut memusnahkan rumah penduduk di wilayah Kunar, Khost dan Paktika.
Korban tertinggi dilaporkan di Khost, sementara kerosakan besar direkodkan di Kunar.
Seorang penduduk, Mohammad Ghulam memberitahu, kawasan yang diserang adalah kawasan penempatan awam.
“Semua rumah yang kena bom adalah rumah orang biasa. Rumah dua tingkat kami musnah dan kanak-kanak cedera.
Di sini tiada askar atau sekatan pun,” katanya yang ditemui ketika sedang mengemas barangan rumah.
Sementara itu, Taliban memaklumkan, kejadian itu berlaku susulan beberapa insiden serangan di Pakistan yang didakwa dilakukan kumpulan militan berpangkalan di Afghanistan.
Pakistan setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi.
Ketegangan antara kedua-dua negara meningkat semula meskipun gencatan senjata masih berkuat kuasa selepas insiden pertempuran di sempadan pada Oktober lalu. -REUTERS